Tenaga boleh diperbaharui: Satu anugerah

August 26, 2022

TERDAPAT banyak ayat al-Quran yang menyentuh mengenai pelbagai sumber alam. Antaranya, air sebagai sumber kehidupan (al-Anbiya’, 21:30 dan Luqman, 31:10), binatang ternakan yang boleh dimanfaatkan oleh manusia (al-Nahl, 16: 5, 66) dan tumbuh-tumbuhan atau buah-buahan (al-Mu’minun, 23: 18–20).

Manakala terdapat juga ayat-ayat al-Quran yang menyebut mengenai matahari (tenaga solar) (al-Furqan, 25:61 dan Ibrahim, 14:33) serta angin (Yunus, 10:22, al-Baqarah, 2:164 dan al-Syura, 42:33) yang juga memberi manfaat-manfaat tertentu kepada manusia.

Kepelbagaian sumber ini adalah satu rahmat untuk manusia dan boleh digunakan untuk meneruskan kehidupannya. Selain makanan dan minuman, sumber-sumber alam juga boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan tenaga. Tenaga yang dimaksudkan ini ialah tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar (matahari), tenaga hidro (air) dan tenaga angin.

Tenaga yang boleh diperbaharui merujuk kepada sebarang bentuk tenaga primer yang berasal daripada sumber yang tidak habis seperti tenaga suria, biojisim, biogas, hidro mini dan tenaga panas bumi. Ia merupakan satu bentuk ‘tenaga yang lebih mampan’ dan menjadi pilihan masa kini kerana ciri ‘kurang penghasilan karbon’ yang ada padanya.

Oleh itu, beban kemusnahan alam daripada tenaga yang boleh diperbaharui dijangka lebih rendah. Ia berbeza dengan tenaga tidak boleh diperbaharui yang kebanyakan sumbernya ialah daripada bahan api fosil seperti arang batu, petroleum dan gas asli. Bahan api seperti ini menghasilkan karbon yang tinggi, berbahaya kepada alam sekitar dan menjadi punca kepada masalah pemanasan bumi. Sumber ini juga terhad sifatnya.

Tenaga yang boleh diperbaharui dijangka menjadi sumber tenaga terpenting menjelang 2040. Malaysia juga sedang giat meneroka sumber tenaga ini. Ketika ini, tenaga solar merupakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui terpenting di Malaysia.

Pada 2020, 581 projek tenaga yang boleh diperbaharui, yang keseluruhannya bernilai RM978.4 juta, telah diluluskan. Kerajaan Malaysia juga menyokong usaha ini dengan pemberian elaun pelaburan hijau untuk pembelian aset dan pengecualian cukai untuk penggunaan teknologi hijau serta pelbagai bentuk bantuan yang lain.

Diharapkan usaha ini akan meningkatkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui sebagai satu usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon dan seterusnya menangani masalah pemanasan global.

AZRINA SOBIAN
Felow, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM

Sumber HARAKAH

HeadquartersTNB Power Generation Sdn. Bhd.
Aras 2, Bangunan TNB Genco
No. 129, Jalan Bangsar
59200 Kuala Lumpur
Get In TouchTNB Genco Social links
Total Visit: 200852

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.

Best view in 1920 x 1080 resolution

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.