Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mewujudkan satu bahagian kelestarian baharu dalam inisiatifnya untuk memacu pelaksanaan strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang bakal mengukuhkan komitmen kemampanan serta usahanya ke arah peralihan tenaga (ET) yang bertanggungjawab.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Baharin Din berkata, bahagian baharu itu yang bermula 1 Jun 2023, akan memacu agenda kelestarian TNB dengan berpaksikan kepada tiga tonggak strategik iaitu sumber tenaga, vektor tenaga dan penggunaan tenaga.
“Di peringkat serantau, TNB meningkatkan agenda ET bertanggungjawabnya melalui kerjasama dengan peneraju tenaga utama di Thailand, Vietnam dan Laos untuk memanfaatkan permintaan serantau dengan tenaga lebih hijau.
“Selain memperoleh aliran pendapatan Tenaga Boleh Baharu (TBB) yang baharu, kerjasama ini membolehkan penyepaduan dan pengagihan semula sumber TBB yang lebih luas dalam membantu menyahkarbonkan sistem tenaga Asean di samping bekalan lebih terjamin di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Baharin berkata, perkongsian strategik itu akan meningkatkan pacuan berterusannya untuk mengukuhkan kesalinghubungan Grid Tenaga Asean dan mengukuhkan lagi aspirasi Malaysia untuk menjadi hab TBB bagi Asean.
Mengenai tonggak sumber tenaga, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) komited dengan beberapa rancangan pengembangannya mulai 2023, katanya.
Menurutnya, ini termasuk pembinaan Projek Hidro Nenggiri yang dijadualkan beroperasi pada 2027, memuktamadkan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) baharu Program Pelanjutan Hayat Sungai Perak, model kebolehlaksanaan Pemerkasaan Semula Paka dan kerjasama pembangunan baharu Loji Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan 2,100 MW di Kapar.
Selain itu katanya, TNB Genco dan anak syarikatnya, TNB Remaco Sdn Bhd menyatakan hasrat terhadap projek tenaga LNG di Vietnam dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan North Power Service Joint Stock Company (EVNNPS) untuk kerjasama masa depan dalam perkhidmatan berkaitan tenaga berpotensi di negara itu.
Sumber – Harian Metro