Pelaburan dua negara, industri halal fokus PM di Laos

June 28, 2023

PETALING JAYA: Potensi pelaburan dua negara, tenaga boleh diperbaharui antara inti pati yang menjadi fokus dalam pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Laos, Dr. Sonexay Siphandone, hari ini.

Katanya, peningkatan ketara pelaburan sehingga merekodkan 425 peratus pada 2022 memberi kesan positif, sekali gus beliau percaya pelaburan akan disegerakan berdasarkan potensi yang ada.

Malah jelas Anwar, pelaburan antara kedua-dua negara itu bukan sahaja menunjukkan perkembangan positif kepada Malaysia tetapi juga Laos.

“Saya percaya, insya-Allah akan disegerakan dan dipercepatkan selepas melihat banyak potensi. Saya harus berterima kasih kepada kerajaan dan sokongan anda untuk usaha kami.

“Kami telah berada di sini pada mulanya dengan loji hidro, dengan sokongan anda. Melihat tahap kejayaan itu, kami melihat Tenaga Nasional menyertai usaha itu dan dari segi teknologi boleh diperbaharui, anda mempunyai potensi yang sangat besar.

“Kerjasama antara Tenaga Nasional dan Electricite du Laos dalam tenaga boleh diperbaharui, ia adalah sesuatu yang kami sokong dan terima kasih sekali lagi atas sokongan anda dan sokongan kerajaan anda,” katanya pada sidang akhbar bersama Siphandone sempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Laos.

Antara perkara lain yang turut dibincangkan adalah industri halal di mana Perdana Menteri mengalu-alukan Laos untuk bekerjasama termasuk perkongsian ilmu dalam industri tersebut yang sememangnya sinonim dengan Malaysia.

Selain itu, Anwar turut mengulas Konsensus Lima Perkara (5C) dengan mengajak ASEAN terus bersatu dan menyelesaikan konflik Myanmar yang menjejaskan rantau tersebut.

Sementara itu, Siphandone berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk mengukuhkan hubungan bilateral demi manfaat rakyat Laos dan Malaysia.

Katanya, Laos juga sedia untuk meneroka bidang berpotensi seperti tenaga boleh diperbaharui, agrikultur dan pelancongan dengan Malaysia.

Menurut Siphandone, capaian pengangkutan antara kedua-dua negara juga antara perkara dibincangkan dan akan diteliti sebaik mungkin selepas ini.

Sumber – Utusan Malaysia

 

HeadquartersTNB Power Generation Sdn. Bhd.
Aras 2, Bangunan TNB Genco

No. 129, Jalan Bangsar

59200 Kuala Lumpur
General line +6 03 2108 3245
Corporate : [email protected]
Get In TouchTNB Genco Social links
DISCLAIMER::

This is TNB information. Any modification, copying, reproduction, republication, uploading, posting, transmission, or distribution, in any manner, of the said information on the website, including any related text, graphics, code and/or software without permission in writing is prohibitted.

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.

Best view in 1920 x 1080 resolution