KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) kini membuka pendaftaran bagi Persidangan Peralihan Tenaga yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 dan 29 Ogos 2023.
TNB dalam satu kenyataan hari ini berkata, persidangan selama dua hari itu dijadualkan sarat dengan sesi percambahan minda dan mencerna pemikiran serta idea mengenai dasar tanpa sempadan, teknologi dan keupayaan yang diperlukan oleh peralihan tenaga serantau.
“Persidangan itu sejajar dengan usaha TNB sebagai pemacu agenda peralihan tenaga di Malaysia dan hasrat merentasi Asia Pasifik dengan menampilkan penyelesaian mampan berteraskan pelanggan, dasar kawal selia tenaga dan teknologi peralihan kepada ekosistem tenaga yang lebih hijau,” katanya.
TNB menggariskan komitmennya untuk mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050 dengan mempercepatkan pacuan peralihan tenaga secara bertanggungjawab melalui peningkatan nilai perusahaan bisnes penjanaan TNB, meluaskan pasaran Tenaga Boleh Baharu (TBB), memperkasa grid dan membangunkan ekosistem Kenderaan Elektrik (EV).
Persidangan itu bakal memaparkan dan mengupas tuntutan masyarakat antarabangsa yang terus mencari kehidupan lebih sejahtera melalui pembangunan mampan tenaga, pengangkutan dan perbandaran dengan dua pertiga manusia dunia dijangka mendiami kawasan bandar menjelang 2050.
Pemimpin tempatan dan antarabangsa, pakar, pemain industri, penggubal dasar dan komuniti akan berhimpun untuk merumuskan penyelesaian dan strategi, merangsang perubahan bermakna serta mempercepatkan peralihan tenaga yang berkesan.
Pendaftaran bagi persidangan itu boleh layari di https://theetconference.com/.
Sumber – Berita Harian