Rangka manusia yang cukup lengkap pada Zaman Prasejarah ditemui dalam kedudukan melipat sepenuhnya disamping batu Hematite di hadapannya dan menghadap ke arah barat daya, dipercayai lebih tua daripada Perak Man yang sebelum ini dianggarkan wujud sejak 10,000 hingga 11,000 tahun dahulu.
Rangka manusia prasejarah itu dibawa keluar dari gua itu dan ditempatkan di makmal konservasi Jabatan Warisan Negara untuk kerja-kerja pemuliharaan secara menyeluruh, sekali gus menyelamatkan khazanah terpenting sejarah tamadun dan kebudayaan manusia.
Kerja-kerja ekskavasi dilakukan oleh Pakarunding dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang diterajui oleh Ketua Penyelidik Ekskavasi Arkeologi Menyelamat untuk Projek Hidroelektrik Nenggiri, Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli, dengan melibatkan lebih 30 orang yang terdiri daripada pakar arkeologi, pembantu penyelidik, mahasiswa UKM serta dibantu penduduk kampung berdekatan bermula sejak September 2022.
Projek ini adalah salah satu usaha mitigasi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk pembinaan empangan Nenggiri yang melibatkan 14 buah gua secara keseluruhannya.
Empangan Hidroelektrik Nenggiri yang dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2027 akan menenggelamkan gua yang mempunyai warisan arkeologi seperti Gua Cha, Gua Chawan, Gua Kecil (Batu Tambah), Gua Lubang Kelawar (Batu Tambah), Gua Keledung, Gua Rahmat, Gua Gemalah dan Gua Kelew.
Sumber – Sinar Harian