KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memeterai Perjanjian Kajian Bersama Kebolehlaksanaan (JFSA) bagi mengukuhkan komitmen mereka memajukan ekonomi hidrogen.
Susulan Memorandum Persefahaman (MOU) ditandatangani sebelum ini, JFSA menggariskan komitmen kedua-dua pemimpin industri untuk bekerjasama dan memperkukuh sinergi bagi meneroka serta membangunkan usaha niaga dalam kepesatan bidang hidrogen hijau.
TNB berkata, kerjasama ini menandakan visi bersama syarikat untuk mempercepatkan penggunaan teknologi bersih seperti hidrogen dan pemerangkapan karbon, untuk menyahkarbonkan sektor tenaga.
Menurutnya, kerjasama strategik di antara TNB dan Petronas ini mempunyai kepentingan khusus dalam menangani cabaran penyahkarbonan industri tenaga, yang mana kedua-dua organisasi memainkan peranan penting.
“Perjanjian ini menjadi bukti dedikasi kami yang tidak berbelah bahagi untuk menyatukan pemain industri dan menjalin sinergi yang kuat. Bersama-sama kami komited untuk meneroka dan membangunkan usaha niaga dalam bidang berpotensi hidrogen hijau,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din
Menurut TNB, menyedari potensi hidrogen sebagai sumber tenaga yang serba boleh dan bersih, syarikat ini dan Petronas berhasrat untuk memanfaatkan sumber ini bagi mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor seperti pengangkutan, pembuatan dan penjanaan tenaga.
TNB, sejajar dengan komitmennya untuk mencapai Sifar Bersih menjelang 2050, sedang meneroka penggunaan hidrogen dan ammonia sebagai pilihan pembakaran bersama dalam portfolio penjanaannya.
Selain itu, tambahnya, kerjasama itu juga membuka peluang kepada TNB untuk menceburi penggunaan hidrogen dalam mobiliti dan pembuatan.
Tambahan pula, perjanjian ini juga menandakan peristiwa penting dalam perjalanan ke arah masa depan yang lebih hijau dan lebih mampan.
Melalui kajian ini, TNB dan Petronas bersama Gentari, syarikat tenaga bersih yang diasaskan oleh Petronas, akan menyelami pengetahuan tidak ternilai mengenai cabaran dan peluang tersaji dalam bidang hidrogen hijau.
Ia membolehkan penyelesaian inovatif, pengenalpastian potensi pengambil alih hidrogen hijau dan perumusan rangka kerja kerjasama di antara TNB dan Petronas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga (Chief Strategy & Ventures Officer) TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan ketika berucap di majlis menandatangani perjanjian itu menekankan kepentingan kolaborasi dan peranannya dalam mencapai amalan lestari.
“Kerjasama ini bukan sahaja akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara tetapi juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan. Bersama-sama, kita
boleh mengenegahkan penyelesaian inovatif, memacu amalan mampan dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan berkembang maju,” katanya. –
Sumber – MalaysiaGazette