ETC 2023 sokong sasaran Malaysia jadi negara rendah karbon

August 22, 2023

KUALA LUMPUR: Persidangan Peralihan Tenaga (ETC) 2023 selama dua hari, bermula 28 Ogos depan, dijangka menawarkan pandangan yang boleh direalisasikan mengenai pendigitalan, teknologi, keupayaan dan dasar yang diperlukan untuk peralihan tenaga di rantau ini selain menyokong matlamat Malaysia untuk menjadi negara rendah karbon menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Baharin Din, berkata persidangan itu akan menggalakkan dialog dan kerjasama dalam pelbagai sektor seperti tenaga, pengangkutan, industri dan pertanian untuk menerapkan pendekatan bersepadu dan menyeluruh terhadap amalan mampan.

“Ia juga akan menyediakan platform kepada usahawan, penyelidik dan pemaju teknologi untuk mengemukakan teknologi, produk dan perkhidmatan terkini mereka,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Menyedari kepentingan rangka kerja dasar dalam menggalakkan amalan mampan dan peralihan tenaga, katanya persidangan itu membolehkan penggubal dasar dan pemain industri membincangkan dan membahaskan pilihan dasar, rangka kerja kawal selia dan mekanisme insentif.

Dianjurkan oleh TNB, persidangan bertemakan ‘Accelerating a Responsible Energy Transition’ itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan dihadiri oleh lebih 1,500 delegasi, 60 penceramah dan 30 peserta pameran.

Mencatatkan satu pencapaian, ETC 2023 akan mencipta sejarah sebagai persidangan pertama di Malaysia yang dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga hijau di bawah Pensijilan Tenaga Boleh Diperbaharui (REC).

Baharin berkata, TNB giat menggalakkan kemampanan, termasuk mempromosikan program Tarif Elektrik Hijau (GET).

“Sebagai pemain penting di Malaysia dengan portfolio meliputi penjanaan tenaga, grid dan runcit, komitmen kami terhadap pelan penyahkarbonan untuk mencapai intensiti pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 menjadi faktor utama dalam perjalanan peralihan tenaga untuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, TNB berhasrat untuk meningkatkan kesedaran dan menerapkan pemahaman masyarakat mengenai faedah daripada peralihan tenaga (ET) dengan meningkatkan komitmen orang ramai untuk memperkasakan agenda itu.

“Persidangan ini menjadi platform untuk membincangkan cabaran melindungi bumi selain mewujudkan keseimbangan ekonomi, sosial dan alam sekitar,” katanya.

Justeru, Baharin berkata TNB memilih empat bidang untuk dibincangkan pada persidangan itu iaitu masa depan tenaga; bandar mampan; mobiliti hijau (pengangkutan) dan pendigitalan, yang menjadi tulang belakang untuk pelaksanaan ET yang bertanggungjawab.

Selain itu, katanya TNB mencari penyelesaian kolaboratif dan mentakrifkan strategi industri secara bersama dengan bekerjasama rapat dengan kementerian dan Suruhanjaya Tenaga.

“Komitmen besar kami sebanyak RM15 bilion untuk menjana semula loji janakuasa gas kami di Kapar, Selangor dan Paka, Terengganu dengan teknologi hidrogen menggariskan komitmen kami terhadap inovasi terkini,” katanya.

Sebagai bukti kepada komitmennya, Baharin berkata TNB melabur sebanyak RM10 bilion dalam pembangunan projek kuasa hidro dan tambahan RM2 bilion dalam inisiatif solar terapung.

Bagi mempercepatkan ET, Baharin berkata sistem penyimpanan tenaga komuniti penting untuk membolehkan lebih banyak penembusan dan kestabilan tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam rangkaian, menggerakkan lebih banyak stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) untuk menampung kadar penggunaan yang lebih tinggi dan mengkaji semula garis panduan dan dasar yang berkaitan supaya lebih keterlihatan dan menambah baik isu-isu teknikal mengenai pemasangan RE.

“Dengan bekerjasama, kami dapat memanfaatkan kekuatan kami untuk mempercepatkan penggunaan teknologi boleh diperbaharui, membangunkan penyelesaian penyimpanan tenaga yang inovatif dan meningkatkan amalan cekap tenaga,” katanya.

ETC 2023 dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber – Berita Harian

HeadquartersTNB Power Generation Sdn. Bhd.
Aras 2, Bangunan TNB Genco

No. 129, Jalan Bangsar

59200 Kuala Lumpur
General line +6 03 2108 3245
Corporate : [email protected]
Get In TouchTNB Genco Social links
DISCLAIMER::

This is TNB information. Any modification, copying, reproduction, republication, uploading, posting, transmission, or distribution, in any manner, of the said information on the website, including any related text, graphics, code and/or software without permission in writing is prohibitted.

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.

Best view in 1920 x 1080 resolution