KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengorak langkah penting dalam komitmennya memacu tenaga boleh baharu (TBB) berskala besar dan inisiatif teknologi bersih, dengan menerajui tiga projek utama yang digariskan oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
Pada taklimat terbaharu kepada penganalisis mengenai keputusan kewangan suku kedua, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Indera Baharin Din mengumumkan fungsi syarikat utiliti itu sebagai peneraju projek Taman Solar Berskala Besar (LSSP), Hibrid Solar Terapung Hidro (HHFS), serta pembakaran bersama hidrogen dan ammonia, yang kesemuanya penting untuk memajukan agenda hijau negara sambil memupuk pertumbuhan ekonomi.
Beliau turut mendedahkan rancangan TNB untuk menjana 3,000 megawatts (MW) TBB menjelang 2040 dalam lingkungan projek utama NETR, termasuk memanfaatkan 2,500MW melalui teknologi inovatif HHFS di samping 500MW tambahan daripada lima LSSP berbeza, masing-masing mempunyai kapasiti 100MW.
“Pelan Peralihan Tenaga TNB sejajar dengan NETR, menekankan pada tiga bidang utama: mempercepatkan penyahkarbonan, membangunkan grid rentas sempadan yang fleksibel dan memperkasakan elektrifikasi dan prosumer rentas sektor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pembakaran bersama hidrogen dan ammonia
TNB berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 8.3 gigawatt (GW) TBB menjelang 2025.
Menurut Baharin, sehingga Jun 2023, TNB telah mencapai 48 peratus daripada jumlah kapasiti sasarannya.
“Ini terrmasuk projek NETR Bahagian 1, kami menjangkakan penambahan satu lagi TBB domestik berkapasiti 1,200MW menjelang 2025. Kami penuh yakin bahawa TBB domestik akan memainkan peranan penting dalam portfolio kami, selari dengan objektif negara mencapai 70 peratus kapasiti TBB terpasang menjelang 2050,” jelasnya.
TNB kini sedang giat memupuk perkongsian dengan rakan serantau untuk menyokong realisasi Grid Tenaga ASEAN (APG) dan telah memeterai 10 memorandum persefahaman dan surat niat.
“Ini menandakan komitmen kami untuk memajukan pembangunan infrastruktur salinghubung dan pelaburan tenaga boleh baharu,” tambah Baharin.
Taman Solar Berskala Besar (LSSP)
Sementara itu, Baharin berkata Bahagian Tenaga Baharu (NED) TNB sedang menyokong Program Tenaga Hijau Korporat yang ditetapkan untuk menjana 90MW apabila mula beroperasi pada 2025.
Program ini memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga mampan melalui LSSP, melengkapi projek sedia ada di Sepang, Selangor (50MW), dan Bukit Selambau (30MW) serta Bukit Selambau 2 (50MW), Kedah yang dijangkakan beroperasi sepenuhnya hujung tahun ini.
Hibrid Solar Terapung Hidro (HHFS)
Projek HHFS akan dilaksanakan dalam empat fasa mulai 2023 hingga 2040 dan ditempatkan secara strategik di empangan hidro TNB, kata Baharin.
“TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) akan mengetuai pemasangan berkapasiti 230MW di loji hidro Temenggor dan Chenderoh sebagai sebahagian daripada pelan projek 2.5GW. Projek ini dijangka siap menjelang 2025,” tambahnya.
Sumber : Astro Awani