Lapan empangan negara risiko ancam keselamatan

October 2, 2023

PUTRAJAYA: Sejumlah lapan daripada 41 empangan seluruh negara dikenal pasti berisiko mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk dan harta benda sekiranya berlaku kegagalan fungsi dan strukturnya.

SItuasi itu disahkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) hasil laporan status pemeriksaan keselamatan empangan-empangan itu oleh Pasukan Flying Squad yang dijalankan antara tahun 2021 dan 2022.

Lapan empangan itu ialah Empangan Muda dan Ahning di Kedah; Empangan Jor dan Mahang di Perak; Empangan Sultan Abu Bakar di Pahang; Empangan Babagon di Sabah; Empangan Bakun di Sarawak dan Empangan Kenyir di Terengganu.

Menurut kenyataan NRECC, hasil pemeriksaan menemukan pembentukan enapan yang tinggi di kolam takungan, kerosakan peralatan instrumentasi dan kawalan air, tirisan (seepage), kerosakan integriti struktur konkrit, hakisan tanah dan kesan runtuhan.

“Kerosakan ini boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk dan harta benda sekiranya berlaku kegagalan.

“NRECC memberi perhatian serius akan risiko kegagalan struktur empangan seperti yang terjadi di Libya baru-baru ini.

“Malah, Empangan Chereh di Pahang dan Empangan Kenyir di Terengganu turut mengalami kerosakan yang agak teruk dan perlu dipulihkan segera,” katanya hari ini.

NRECC berkata, kos pembaikan dan penyenggaraan bagi lapan empangan tersebut dianggarkan sebanyak RM135,8 juta dan pemilik empangan perlu menyediakan peruntukan khas bagi penyelenggaraan.

Namun, katanya, sebagai langkah interim, sekiranya terdapat keperluan mendesak, Kerajaan Persekutuan bersedia menimbang untuk menyediakan sokongan kewangan kepada pemilik empangan yang tidak mempunyai sumber kewangan.

Untuk itu, NRECC bercadang untuk meneruskan fungsi Flying Squad untuk membuat pemeriksaan ke atas empangan-empangan lain terutamanya yang berusia lebih daripada 50 tahun.

“Struktur dan tanggungjawab Flying Squad juga akan diperkukuhkan kepada struktur tetap yang dikenali sebagai Dam Technical Centre (DTC).

“Pasukan Flying Squad merupakan struktur ad-hoc yang diselaraskan Bahagian Bekalan Air (BBA), NRECC dengan keahlian terdiri daripada pakar daripada pelbagai jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta pihak swasta,” katanya.

Pada masa sama, NRECC berkata, pemeriksaan empangan oleh Flying Squad menggunapakai garis panduan pemeriksaan keselamatan empangan yang dibangunkan oleh JPS iaitu Malaysia Dam Safety Management Guidelines (MyDAMS).

Sumber : Utusan Malaysia

HeadquartersTNB Power Generation Sdn. Bhd.
Aras 2, Bangunan TNB Genco

No. 129, Jalan Bangsar

59200 Kuala Lumpur
General line +6 03 2108 3245
Corporate : [email protected]
Get In TouchTNB Genco Social links
DISCLAIMER::

This is TNB information. Any modification, copying, reproduction, republication, uploading, posting, transmission, or distribution, in any manner, of the said information on the website, including any related text, graphics, code and/or software without permission in writing is prohibitted.

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.

Best view in 1920 x 1080 resolution