Struktur Empangan Kenyir sentiasa dipantau

October 3, 2023

KUALA TERENGGANU: Pemantauan struktur Empangan Kenyir, Hulu Terengganu, dekat sini sentiasa dilakukan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menjamin keselamatan orang awam.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kerja-kerja pembaikan cerun di empangan itu juga sedang dijalankan TNB.

Menurutnya, kerosakan yang berlaku di Stesen Kenyir, Empangan Kenyir  disebabkan kejadian tanah runtuh pada Februari 2022 yang lalu.

“Ia menyebabkan operasi stesen tersebut terhenti selama enam bulan.

“Namun, operasi penjanaan dan penghantaran telah dapat dipulihkan pada akhir Jun 2022 iaitu tiga bulan lebih awal dari jangkaan jadual bagi menstabilkan sistem grid nasional dan bekalan untuk negeri Terengganu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melaporkan terdapat lapan empangan di seluruh negara dikenal pasti berisiko mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk dan harta benda sekiranya berlaku kegagalan fungsi dan strukturnya.

Lapan empangan itu ialah Empangan Muda dan Ahning di Kedah; Empangan Jor dan Mahang di Perak; Empangan Sultan Abu Bakar di Pahang; Empangan Babagon di Sabah; Empangan Bakun di Sarawak dan Empangan Kenyir di Terengganu.

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, permohonan peruntukan untuk kerja-kerja pembaikan kerosakan akibat banjir termasuk di cerun di Empangan Kenyir telah dikemukakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 April 2023.

“Pembaikan kerosakan jalan, cerun dan jambatan di seluruh negeri

Terengganu di bawah skop Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah berjumlah RM135.642 juta.

“Pembaikian kerosakan infrastruktur pengairan dan saliran di seluruh Terengganu di bawah skop Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula berjumlah RM62.705  juta. Sebahagian kerja-kerja pembaikian telah disiapkan dan akan diteruskan,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

HeadquartersTNB Power Generation Sdn. Bhd.
Aras 2, Bangunan TNB Genco
No. 129, Jalan Bangsar
59200 Kuala Lumpur
Get In TouchTNB Genco Social links
Total Visit: 204265

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.

Best view in 1920 x 1080 resolution

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.