PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan semua stesen janakuasa termasuk empangan hidrolektriknya kekal kukuh dan selamat menjelang musim tengkujuh.
Ini kerana kata, Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Ir Muhamad Nazri Pazi, pihaknya telah membuat pemeriksaan berkala secara bulanan terhadap semua empangan hidroelektriknya dan melaksanakan audit integriti struktur setiap enam bulan.
Jelasnya, langkah itu untuk memastikan keadaan struktur yang utuh dan dapat berfungsi dengan baik selain mengenalpasti sebarang potensi risiko yang mungkin timbul.
Malah katanya, pemeriksaan itu dijalankan dengan teliti oleh anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Genco dan berdasarkan garis panduan di Malaysia iaitu Malaysia Dam Safety Management Guidelines (MyDams, 2017).
“Langkah tersebut membolehkan empangan TNB kekal utuh bukan sahaja untuk membekalkan bekalan elektrik kepada grid nasional, malah berfungsi sebagai sistem tebatan banjir dan sumber bekalan air untuk kegunaan domestik termasuk air bersih,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Nazri berkata, penilaian keselamatan empangan (Dam Safety Review) oleh pakar empangan bebas turut dilaksanakan setiap lima tahun selaras dengan garis panduan antarabangsa International Commission on Large Dam (ICOLD).
Menerusi pemeriksaan ini katanya, pakar-pakar empangan dilantik untuk memeriksa dan menilai keadaan integriti empangan dan struktur yang berkaitan.
“Tujuannya adalah untuk memastikan struktur seperti alur limpah (spillway), muka sauk (intake), empangan pelana (saddle dam) dan sebagainya berfungsi dengan baik dan kukuh serta juga menilai keadaan empangan dalam menjamin keselamatan dan integritinya.
“Amalan penyelenggaraan itu merangkumi Stesen Janakuasa Sungai Perak, Kenyir dan Cameron Highlands terutamanya menjelang musim tengkujuh,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, amalan penyelenggaran itu dapat membantu dalam meminimumkan kesan bencana alam seperti yang dialami empangan terbesar di Semenanjung Malaysia, Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) di Tasik Kenyir, Terengganu.
Katanya, struktur Empangan Kenyir itu didapati kekal kukuh dan selamat untuk beroperasi walaupun dilanda banjir besar pada awal tahun lalu.
“Sebagai langkah berjaga-jaga juga, pihak TNB telah memasang siren keselamatan di sekitar kawasan berdekatan empangan TNB.
Sumber : KOSMO ONLINE