TNB dan Siemens Energy bergabung bangunkan hidrogen hijau

October 19, 2023

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menjalin kerjasama dengan Siemens Energy untuk menyegerakan dekarbonisasi iaitu nyah karbon loji kuasa termalnya dengan menggunakan hidrogen hijau yang dihasilkan daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB).

Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Siemens Energy, peneraju teknologi tenaga baru-baru ini memberi TNB peluang mendalami ilmu dan kepakaran terkini serta sumber tenaga berasaskan hidrogen, dengan tumpuan kepada pengeluaran hidrogen hijau menggunakan elektroliser dan sumber penjanaan daripada TBB seperti pam hidro dan solar.

Mou itu berlangsung pada Persidangan Peralihan Tenaga TNB 2023 baru-baru ini disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz.

“Kerjasama dengan Siemens Energy adalah selari dengan aspirasi Peralihan Tenaga TNB, yang mengemudi kita menuju sasaran Sifar Bersih menjelang tahun 2050. Kolaborasi ini membuktikan dedikasi penuh TNB menyokong kelestarian alam sekitar,” kata ; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din.

Beliau turut menekankan bahawa MoU ini membina rangkaian meneroka penyelesaian inovatif dan teknologi terkini dengan sasaran kos efektif dalam pengeluaran hidrogen hijau Malaysia di samping menangani cabaran-cabaran yang berkaitan.

Dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), pembakaran hidrogen dan amonia diiktiraf sebagai salah satu projek utama yang mana TNB dipilih sebagai peneraju untuk memimpin pelaksanaannya dengan kerjasama Petronas, sebagai sebahagian daripada inisiatif dekarbonisasi negara.

Ia menekankan keperluan untuk menganalisis aspek tekno-ekonomi pembakaran hidrogen dan dalam masa yang sama mengekalkan keterjaminan dan kemampuan milik tenaga yang dihasilkan daripada loji pembakaran bersama hidrogen.

Kerjasama dengan Siemens Energy akan mempekasa TNB dalam mendalami dan meningkatkan keupayaannya untuk mengkhusus, membeli, membina, mengendalikan, menyelenggara, mengawasi kontrak dan aspek kewangan pengeluaran hidrogen serta aplikasinya untuk pembakaran bersama di loji-loji kuasa termal.

Selain itu, MoU ini juga memudahkan pertukaran pengetahuan dan pemindahan teknologi, membolehkan TNB memperkukuh keupayaan dalaman serta mempertahankan kedudukan selaku peneraju dalam bidang pengeluaran berkaitan hidrogen dan penggunaan pelbagai teknologi.

Kolaborasi dengan Siemens Energy juga akan menggalakkan kerjasama antarabangsa dan mengukuhkan kedudukan TNB sebagai pemain utama dalam peralihan tenaga global ke arah amalan kelestarian dan karbon neutral dalam sektor tenaga.

Sumber : MalaysiaGazette

HeadquartersTNB Power Generation Sdn. Bhd.
Aras 2, Bangunan TNB Genco
No. 129, Jalan Bangsar
59200 Kuala Lumpur
Get In TouchTNB Genco Social links
Total Visit: 203976

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.

Best view in 1920 x 1080 resolution

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.