TNB, Petronas jalin kerjasama terokai teknologi CCS

November 6, 2023

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka teknologi Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) bagi loji janakuasa gas.

Kerjasama itu menandakan komitmen kedua-dua pihak terhadap Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050.

Justeru, MoU ini menterjemahkan aspirasi tersebut menjadi inisiatif dan tindakan, sejajar NETR yang mengenal pasti Penangkapan Karbon, Penggunaan, dan Penyimpanan (CCUS) sebagai Tuas Peralihan Tenaga keenam dengan langkah jelas ke arah karbon sifar bersih.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din berkata, kerjasama ini mengukuhkan komitmen TNB dan Petronas terhadap NETR.

“CCS merupakan satu daripada tuas peralihan tenaga utama yang digariskan dalam NETR, dan MoU ini akan membolehkan TNB serta Petronas menggabungkan kepakaran mereka dalam menyelaraskan usaha di bidang teknologi CCS bagi loji penjanaan gas.

“TNB komited sepenuhnya untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050 dan sedang giat menjalankan pelbagai inisiatif dalam memacu penyahkarbonan di Malaysia dan antara usaha termasuk penangkapan dan penyimpanan karbon ketika penjanaan tenaga di loji janakuasa gas.

“MoU ini sejajar dengan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) TNB yang menyatakan komitmen teguh terhadap kelestarian alam sekitar melalui penerokaan teknologi CCS dan selaras dengan NETR Malaysia,” katanya.

MoU disempurnakan oleh Baharin serta Presiden dan Ketua Pegawai Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.

Dalam pada itu, Tengku Muhammad Taufik menegaskan, peralihan tenaga adalah satu cabaran sistemik yang memerlukan kerjasama dengan sektor-sektor lain untuk mencapai sasaran karbon sifar bersih.

Ujarnya, MoU ini adalah bukti keyakinan bersama Petronas dan TNB bagi mewujudkan laluan dalam melaksanakan tanggungjawab menyediakan tenaga yang selamat serta menyokong aspirasi rendah karbon yang dinyatakan dalam NETR.

“Dengan gabungan pengalaman dan keupayaan teknikal sebagai pemilik infrastruktur tenaga, Petronas menaruh harapan tinggi untuk mempercepat pembangunan dan pelaksanaan teknologi CCS sebagai sebahagian daripada sistem penyahkarbonan tenaga.

“Kita secara bersama boleh memanfaatkan potensi teknologi yang ada secara sepenuhnya untuk mengurangkan pelepasan karbon dengan segera.

“Petronas kekal dengan tekad untuk mencari penyelesaian yang akan menggerakkan perkembangan ke arah masa depan lebih lestari, selaras dengan sasaran sifar bersih menjelang tahun 2050,” katanya.

Source : Utusan

HeadquartersTNB Power Generation Sdn. Bhd.
Aras 2, Bangunan TNB Genco

No. 129, Jalan Bangsar

59200 Kuala Lumpur
General line +6 03 2108 3245
Corporate : [email protected]
Get In TouchTNB Genco Social links
DISCLAIMER::

This is TNB information. Any modification, copying, reproduction, republication, uploading, posting, transmission, or distribution, in any manner, of the said information on the website, including any related text, graphics, code and/or software without permission in writing is prohibitted.

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.

Best view in 1920 x 1080 resolution