KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah mempersiapkan semua empangan skim hidroelektriknya di Cameron Highlands, Sungai Perak dan Tasik Kenyir bagi menghadapi impak Monsun Timur Laut, termasuk kemampuan menakung kapasiti air yang dijangka meningkat pada musim tengkujuh.
Pemeriksaan berkala secara bulanan dan audit integriti setiap enam bulan adalah antara langkah yang diambil melebihi garis panduan “Malaysia Dam Safety Management Guidelines” (MyDAMS) demi keselamatan empangan untuk memastikan keutuhan struktur.
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Ir Muhamad Nazri Pazil, berkata langkah berkenaan memastikan empangan dapat berfungsi dengan baik bukan sahaja sebagai penjana tenaga hidro tetapi juga membantu usaha penebatan banjir.
“Penyelenggaraan empangan secara berhemat dan menyeluruh ini mendukung prinsip utama melindungi nyawa, harta benda, dan persekitaran,” katanya merujuk kepada pengumuman Jabatan Meteorologi Malaysia yang meramalkan hujan lebat di Pantai Timur Semenanjung dengan kebanyakan negeri menerima purata hujan antara 100mm hingga 900mm pada hujung tahun.
SUMBER : BH ONLINE