TNB Remaco Selenggara Loji Jana Kuasa di Kuwait

January 23, 2024

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB), menerusi anak syarikatnya, TNB Repair and Maintenance Sdn Bhd (TNB Remaco) mengembangkan perniagaan penyelenggaraan loji jana kuasa di Kuwait dengan perjanjian program penyelenggaraan berbilang tahun untuk Loji Jana Kuasa dan Penyulingan Air Shuaiba Utara di Al Ahmadi, Kuwait.

Dalam satu kenyataan hari ini, TNB berkata TNB Remaco telah membentuk satu usaha sama (JV) dengan Al Dhow Engineering yang berpangkalan di Kuwait dan turut menjalin kerjasama strategik dengan General Electric Global Services (GE Vernova).

Syarikat utiliti itu berkata, syarikat JV TNB Remaco-Al Dhow itu telah menganugerahkan kontrak perjanjian perkhidmatan jangka panjang kepada GE Vernova untuk menyediakan kerja-kerja penyelenggaraan turbin gas di loji itu, yang dimiliki Kementerian Elektrik, Air dan Tenaga Boleh Baharu (MEWRE) Kuwait.

TNB berkata, perjanjian itu adalah sebahagian daripada usaha lebih luas kementerian itu untuk memodenkan infrastruktur penjanaan tenaga di Kuwait, menyumbang kepada usaha global bagi peralihan tenaga mampan.

Pengerusi TNB Remaco, Muhammad Nazri Pazil, berkata kerjasama strategik ini sejajar dengan komitmen TNB untuk menjadi peneraju dalam kemajuan landskap tenaga global.

“Kedua-dua rakan kongsi ini mempunyai kekuatan dan kepakaran masing-masing yang akan memastikan kebolehpercayaan infrastruktur tenaga Kuwait dan menyumbang kepada matlamat lebih luas dalam peralihan tenaga dan kelestarian.

“Gabungan perkhidmatan usaha sama TNB Remaco – Al Dhow dan GE dengan keupayaan digital mereka akan membantu menyokong penyelenggaraan dan prestasi jangka panjang untuk Loji Jana kuasa dan Penyulingan Air Shuaiba Utara serta memastikan loji jana kuasa itu beroperasi pada tahap kebolehpercayaan yang tertinggi,” katanya.

TNB berkata, di bawah kontrak lima tahun itu, rakan usaha sama akan menyediakan penyelenggaraan menyeluruh terancang dan tidak terancang untuk turbin gas dan alat bantunya di loji berkapasiti 876 MW terbabit.

Muhammad Nazri berkata, TNB Remaco mempunyai empat lagi projek perkhidmatan penyelenggaraan di pelbagai loji jana kuasa di Kuwait.

“Kuwait adalah satu daripada pasaran antarabangsa terbesar kami di samping operasi antarabangsa lain termasuk Arab Saudi, Pakistan, Kemboja dan Vietnam,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu bukan sahaja akan meningkatkan infrastruktur tenaga Kuwait tetapi juga menetapkan standard untuk amalan mampan di peringkat global.

Sumber – Berita Harian

HeadquartersTNB Power Generation Sdn. Bhd.
Aras 2, Bangunan TNB Genco

No. 129, Jalan Bangsar

59200 Kuala Lumpur
General line +6 03 2108 3245
Corporate : [email protected]
Get In TouchTNB Genco Social links
DISCLAIMER::

This is TNB information. Any modification, copying, reproduction, republication, uploading, posting, transmission, or distribution, in any manner, of the said information on the website, including any related text, graphics, code and/or software without permission in writing is prohibitted.

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.

Best view in 1920 x 1080 resolution