Gua Musang: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli kaum Temiar di dua pos yang terbabit dengan pembinaan Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri, di sini sanggup berkorban meninggalkan tanah dan kubur nenek moyang mereka di pos terbabit demi pembangunan negara.
Penduduk di Pos Pulat dan Pos Tohoi kini sudah bersiap sedia pada bila-bila masa untuk berpindah.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pulat, Mazlan Mohamad, bagaimanapun berkata penduduk berharap janji yang dibuat Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat dilaksanakan.
Menurutnya, keputusan berat dibuat oleh penduduk apabila bersetuju untuk berpindah dan meninggalkan kampung peninggalan nenek moyang mereka termasuk kebun dan tanah kubur.
“Kalau ikutkan memang sedih nak tinggal kampung yang sekian lama diduduki dan sini juga terdapat tanah kubur nenek moyang kami.
“Apabila perkampungan ini tenggelam kerana projek empangan maka semuanya akan tinggal kenangan dalam ingatan tiada lagi tanah dan tempat untuk dikunjungi.
“Namun demi pembangunan negara, kami sanggup melihat perkampungan yang diwarisi sejak turun temurun tenggelam,” katanya ketika ditemui di Pos Pulat.
Terdahulu masyarakat Orang Asli di Pos Pulat diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran JPKKOA Pos Pulat dan TNB dan turut hadir Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan.
Manakala bagi Pengerusi JPKKOA Pos Tohoi, Jenny Adik berkata Pos Tohoi berkata, dia berharap pembinaan empangan terbabit dapat disiapkan mengikut seperti dijadualkan.
Menurutnya, lebih 200 keluarga ersedia untuk berpindah ke penempatan baharu yang dijanjikan dengan pembinaan rumah, sekolah dan pemberian tanah kebun.
“Saya difahamkan tanah untuk kebun sudah pun siap namun pembinaan rumah masih belum dibina. Kami harap ia dapat disiapkan seperti yang sudah dirancang.
“Malah kami juga berharap pembinaan empangan nanti akan membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada penduduk orang Asli di kawasan ini,” katanya.
Sumber – Harian Metro