TNB, PETRONAS bekerjasama teroka teknologi pemerangkapan dan penyimpanan karbon

November 5, 2023

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka teknologi Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) bagi loji janakuasa gas.

Syarikat terbabit dalam satu kenyataan bersama berkata, kerjasama ini menandakan komitmen kedua-dua pihak terhadap Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050.

Menurut kenyataan itu, NETR mengenal pasti pemerangkapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon (CCUS) sebagai tuas peralihan tenaga ke-6 dengan langkah jelas ke arah karbon sifar bersih sambil menambah MoU itu menterjemah aspirasi berkenaan menjadi inisiatif dan tindakan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Baharin Din, berkata syarikat utiliti itu komited sepenuhnya untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050 dan sedang giat menjalankan pelbagai inisiatif dalam memacu penyahkarbonan di Malaysia.

“Antara usaha ini termasuk pemerangkapan dan penyimpanan karbon ketika penjanaan tenaga di loji janakuasa gas.

“MoU ini sejajar dengan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) TNB yang menyatakan komitmen teguh terhadap kelestarian alam sekitar melalui penerokaan teknologi CCS,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata peralihan tenaga adalah satu cabaran sistemik yang memerlukan kerjasama dengan sektor lain untuk mencapai sasaran karbon sifar bersih.

Beliau berkata, MoU itu adalah bukti keyakinan bersama PETRONAS dan TNB bagi mewujudkan laluan dalam melaksanakan tanggungjawab menyediakan tenaga yang selamat.

“Dengan gabungan pengalaman dan keupayaan teknikal sebagai pemilik infrastruktur tenaga, Petronas menaruh harapan tinggi untuk mempercepat pembangunan dan pelaksanaan teknologi CCS sebagai sebahagian daripada sistem penyahkarbonan tenaga.

“Bersama-sama kita boleh memanfaatkan potensi teknologi yang ada secara sepenuhnya untuk mengurangkan pelepasan karbon dengan segera,” katanya.

Kedua-dua pihak berpendapat ketika Malaysia beralih ke arah ekonomi rendah karbon, gas asli memainkan peranan penting bagi landskap tenaga negara dengan menawarkan sumber asas tenaga yang berpatutan dan diyakini.

Oleh itu, loji penjanaan gas akan membolehkan integrasi lebih baik bagi sumber tenaga boleh baharu yang mana kerjasama antara TNB dan PETRONAS dalam pelaksanaan teknologi CCS akan membantu menyumbang kepada usaha penyahkarbonan negara.

 

Source : BeritaHarian

HeadquartersTNB Power Generation Sdn. Bhd.
Aras 2, Bangunan TNB Genco

No. 129, Jalan Bangsar

59200 Kuala Lumpur
General line +6 03 2108 3245
Corporate : [email protected]
Get In TouchTNB Genco Social links
DISCLAIMER::

This is TNB information. Any modification, copying, reproduction, republication, uploading, posting, transmission, or distribution, in any manner, of the said information on the website, including any related text, graphics, code and/or software without permission in writing is prohibitted.

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.

Best view in 1920 x 1080 resolution