Pembinaan Empangan Nenggiri Capai Kemajuan 40 Peratus

June 6, 2024

Pembinaan Empangan Nenggiri di Gua Musang yang bermula Mac 2022 sudah mencapai tahap kemajuan hampir 40 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin, berkata pembinaan empangan itu dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2027.

Katanya, projek berkenaan bakal memasuki proses penakungan yang akan mewujudkan tasik seluas kira-kira 5,000 hektar.

“Proses penakungan itu akan bermula suku keempat 2026,” katanya menjawab soalan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) mengenai status pembinaan Empangan Nenggiri pada persidangan DUN Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang berkata, pembinaan Empangan Nenggiri akan memberi impak yang besar kepada Kelantan dalam membekalkan sumber tenaga konsisten dan mencukupi untuk rakyat pada masa hadapan.

“Pembinaan empangan hidroelektrik akan memberi kesan positif kepada sektor pelancongan negeri kerana penenggelaman 14 gua di kawasan itu.

“Kerja ekskavasi di gua berkenaan sedang dijalankan dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membina sebuah mini galeri di Gua Musang bagi mengumpulkan semua hasil itu.

“Projek ini juga boleh menjadi satu tarikan pelancongan kepada Gua Musang apabila sebuah tasik besar akan diwujudkan seperti Tasik Banding di Gerik, Perak dan Tasik Kenyir di Terengganu,” katanya.

Dr Izani berkata, projek itu juga akan menjadikan Gua Musang sebagai sebuah pusat pelancongan, sekali gus akan membawa ledakan ekonomi kepada Kelantan.

Katanya, projek berkenaan turut membabitkan sesi libat urus masyarakat Orang Asli dan mereka akan ditempatkan di sebuah kawasan bersepadu.

Sumber – Berita Harian

HeadquartersTNB Power Generation Sdn. Bhd.
Aras 2, Bangunan TNB Genco

No. 129, Jalan Bangsar

59200 Kuala Lumpur
General line +6 03 2108 3245
Corporate : [email protected]
Get In TouchTNB Genco Social links
DISCLAIMER::

This is TNB information. Any modification, copying, reproduction, republication, uploading, posting, transmission, or distribution, in any manner, of the said information on the website, including any related text, graphics, code and/or software without permission in writing is prohibitted.

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.

Best view in 1920 x 1080 resolution