TNB berjaya uji jana tenaga arang batu bersama ammonia

August 10, 2022

KUALA LUMPUR: Ujian pertama pembakaran ammonia bersama arang batu sebagai sebahagian daripada inisiatif nyah karbon sektor tenaga negara menunjukkan hasil positif, demikian menurut Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Ujian dijalankan TNB Research Sdn Bhd (TNBR) dan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), anak syarikat milik penuh TNB bersama IHI Power System Malaysia Sdn Bhd (IPSM) dan PETRONAS Hydrogen Sdn Bhd di pusat kemudahan pelantar ujian TNBR di Kajang, baru-baru ini.

Eksperimen pembakaran bersama ammonia itu menempa kejayaan apabila pelepasan karbon dioksida (CO2) dan sulfur dioksida (SO2) yang direkodkan didapati berkurangan mengikut kadar pembakaran.

Malah, tiada kesan tindak balas ammonia pada laluan keluar relau ketika ujian dijalankan dan suhu pembakaran juga tidak menunjukkan perbezaan ketara.

“Hasil ujian dilihat memenuhi objektif eksperimen menuju nyah karbon, lantas mengukuhkan peluang TNB untuk mewujudkan projek rintis stesen janakuasa rendah karbon sekiranya memperoleh persetujuan daripada pihak berkuasa.

“Ujian pembakaran bersama ini diketuai IPSM, pakar dalam pembangunan teknologi pembakaran ammonia,” kata TNB dalam satu kenyataan.

PETRONAS Hydrogen berperanan membekalkan ammonia dan peralatan berkaitan manakala TNBR menyediakan tenaga kerja, utiliti dan peranti pengukuran.

TNB Genco pula menyediakan jenis-jenis arang batu yang digunakan di stesen jana kuasa arang batu sedia ada.

Objektif utama ujian itu adalah bagi menentukan kesan pembakaran bersama ammonia sebagai bahan bakar bebas karbon terhadap arang batu dalam sistem penjanaan kuasa berasaskan arang batu.

Pada teorinya, pembakaran bersama ammonia boleh mengurangkan secara ketara pelepasan CO2 yang mampu menyekat nitrogen oksida sambil menstabilkan pembakaran.

Eksperimen menggunakan tiga jenis arang batu yang biasa digunakan di stesen jana kuasa arang batu Malaysia.

Nisbah ammonia dinaikkan secara berperingkat daripada sifar peratus hingga 60 peratus bagi setiap jenis arang batu.

Selain aspek pelepasan CO2, ujian ini juga bertujuan melihat kesan kepada dandang, kestabilan nyalaan pembakaran, baki arang batu tidak terbakar, sifat gas terhasil, ukuran sulfur oksida, abu dan kesan jelaga.

Ujian pembakaran bersama ammonia dan arang batu itu adalah sebahagian daripada usaha TNB meneroka potensi penyahkarbonan seiring Hala Tuju Kelestarian TNB dan menyokong inisiatif kerajaan untuk mencapai sasaran 45 peratus pengurangan intensiti Gas Rumah Kaca (GHG) pada 2030.Sumber BERITA HARIAN

HeadquartersTNB Power Generation Sdn. Bhd.
Aras 2, Bangunan TNB Genco

No. 129, Jalan Bangsar

59200 Kuala Lumpur
General line +6 03 2108 3245
Corporate : [email protected]
Get In TouchTNB Genco Social links
DISCLAIMER::

This is TNB information. Any modification, copying, reproduction, republication, uploading, posting, transmission, or distribution, in any manner, of the said information on the website, including any related text, graphics, code and/or software without permission in writing is prohibitted.

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.

Best view in 1920 x 1080 resolution