Peralihan tenaga tidak dapat dielakkan, penting untuk menjamin keselamatan tenaga

August 26, 2022
KUALA LUMPUR: Peralihan kepada tenaga bersih tidak dapat dielakkan terutama apabila dunia bergerak ke arah pembalikan kesan perubahan iklim di samping memastikan keselamatan tenaga untuk melindung nilai daripada ketidaktentuan luaran seperti impak konflik Rusia-Ukraine terhadap sektor tenaga.
Ketua Pegawai Operasi TNB Generation Sdn Bhd (TNB Genco) Datuk Ir Roslan Abd Rahman berkata Tenaga Nasional Bhd (TNB) merancang untuk mengurangkan pergantungan kepada arang batu sebanyak 50 peratus menjelang 2035 dan sedang mengkaji secara serius sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen dan ammonia.

“Kami tidak mahu bergantung kepada satu sumber untuk menjana elektrik. Dari segi keselamatan, tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen kini lebih selamat berbanding arang batu yang perlu diimport dari negara-negara pengeluar seperti Indonesia.

“Kita akan mempunyai masalah jika Indonesia berhasrat menghentikan eksport arangnya,” kata beliau kepada Bernama di luar acara lawatan media ke stesen-stesen Janakuasa Cameron Highlands (SSJCH) TNB baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Hal Ehwal Stakeholder TNB Pahang Datuk Baderul Sham Saad dan Pengurus Besar Stesen-stesen Janakuasa Cameron Highlands Sa’aidan Abu Hassan.
Selain itu, Roslan menambah bahawa empangan kuasa hidro juga merupakan sumber tenaga boleh diperbaharui yang penting dan pada masa ini, hidroelektrik menyumbang kira-kira 10 peratus daripada grid tenaga negara.
Namun begitu, beliau mengakui bahawa ia akan mengambil sedikit masa untuk peralihan daripada arang batu kepada tenaga bersih berlaku.
Beliau juga berkata Malaysia masih perlu bekerjasama dengan syarikat-syarikat asing yang mempunyai kepakaran yang betul sambil menambah TNB Genco kini sedang berbincang dengan firma besar seperti General Electric dan Siemens untuk mencari teknologi yang sesuai untuk membangunkan tenaga boleh diperbaharui sendiri.
“Teknologi hidrogen ini masih baharu dan mahal berbanding harga gas sekarang dan ia mengambil masa untuk harga itu turun,” jelas Roslan.
Cabaran menguruskan empangan hidro
Pencemaran air semakin membimbangkan TNB kerana ia perlu memperuntukkan kira-kira RM100 juta setahun untuk menyelenggara empangan berikutan peningkatan pencemaran berhampiran sumber airnya, dengan sekitar RM40 juta dibelanjakan bagi menangani masalah bahan buangan atau bahan yang tidak diingini daripada empangan hidro di Cameron Highlands.
“Buat masa ini, kami masih lagi dapat menguruskan belanjawan (penyelenggaraan), tetapi kami mahu mengurangkannya.
“Namun begitu kos semakin naik, dianggarkan 10 peratus setiap tahun dan ini juga bergantung kepada kadar inflasi,” jelas Roslan.
Pada masa ini, TNB Genco mempunyai tiga loji kuasa hidro utama di Semenanjung Malaysia iaitu terdiri daripada stesen janakuasa hidro 1,249 megawatt (MW) di Sungai Perak, loji 622MW di Cameron Highlands dan Stesen Janakuasa Sultan Mahmud 665MW di Kenyir, Terengganu.
Roslan turut mengharapkan penyelesaian kekal kepada isu pencemaran dan menambah TNB Genco telah meluangkan masa dan wang untuk mendidik penduduk sekitar empangan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia.
Ditanya sama ada TNB akan menambah bilangan empangan hidro di Malaysia, beliau berkata kajian menyeluruh diperlukan untuk membinanya.
Pada masa ini, TNB sedang membangunkan projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri bernilai RM5 bilion di Kelantan yang dijangka mula menjana tenaga elektrik pada pertengahan 2027.
Projek itu bertujuan meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui, menyelesaikan masalah banjir dan bekalan air bersih yang berlarutan di Kelantan selain mewujudkan peluang ekopelancongan.
— BERNAMASumber astroawani
HeadquartersTNB Power Generation Sdn. Bhd.
Aras 2, Bangunan TNB Genco
No. 129, Jalan Bangsar
59200 Kuala Lumpur
Get In TouchTNB Genco Social links
Total Visit: 157011

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.

Best view in 1920 x 1080 resolution

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.