TNB Genco belanja lebih RM100 juta setahun selenggara empangan Oleh Hazwan Faisal Mohamad – Ogos 14, 2022

August 26, 2022

CAMERON HIGHLANDS: TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) membelanjakan lebih RM100 juta setiap tahun bagi tujuan operasi dan penyelenggaraan semua stesen jana kuasa dan empangan miliknya di Semenanjung.

Ketua Pegawai Operasi TNB Genco, Datuk Ir Roslan Abd Rahman, berkata daripada jumlah itu, stesen jana kuasa dan empangan di Cameron Highlands menyumbang kos paling tinggi iaitu kira-kira RM40 juta setahun.

Katanya, faktor yang menyumbang kepada kos tinggi itu disebabkan masalah pemendapan dan sampah yang banyak di empat empangan Cameron Highlands.

“Pemendapan sebenarnya telah lama berlarutan kerana seperti kita tahu, aktiviti pembinaan di Cameron Highlands begitu rancak yang menjadi antara punca utama masalah ini.

“Bagi menangani pemendapan ini, kami terpaksa membelanjakan hampir RM30 juta setahun bagi tujuan mengorek dan membuang pasir yang termendap dalam empangan.

“Jika tidak, ia boleh menyebabkan kapasiti air empangan terus berkurangan sehingga menjejaskan penjanaan tenaga elektrik, selain mampu memberi kesan dari segi takungan air dan mengakibatkan limpahan jika tidak ditangani dengan betul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika lawatan media ke stesen jana kuasa elektrik dan empangan Cameron Highlands, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Hal Ehwal Stakeholder TNB Negeri Pahang, Datuk Baderul Sham Saad dan Pengurus Besar Stesen-stesen Jana Kuasa (SSJ) Cameron Highlands, Sa’aidan Abu Hassan.

 

Ketua Pegawai Operasi TNB Genco, Datuk Ir Roslan Abd Rahman
Ketua Pegawai Operasi TNB Genco, Datuk Ir Roslan Abd Rahman

 

Terdapat empat empangan utama di Cameron Highlands milik TNB Genco iaitu Empangan Ringlet, Empangan Susu, Empangan Jor dan Empangan Mahang.

Stesen jana kuasa pula terdiri daripada Jor yang menghasilkan 100 megawatt (MW), Woh (150 MW) dan Ulu Jelai (372 MW).

Selain itu, terdapat lima stesen mini hidro iaitu Kampung Raja (0.8 MW), Kuala Terla (0.5 MW), Robinson Falls (0.5 MW), Habu (5.5 MW) dan Odak (4.2 MW).

Roslan berkata, operasi stesen terbabit bukan hanya menjana tenaga elektrik, malah pengurusan perlu memastikan paras air di empangan terkawal.

“Fungsi empangan bukan hanya untuk menjana elektrik, tetapi juga sebagai tebatan banjir dan kawalan air sebagai pengairan di hilir sungai.

“Cabaran paling besar adalah dari segi bahan buangan termendap masuk ke dalam empangan yang menyebabkan kami terpaksa berbelanja besar setiap tahun untuk memindahkan bahan mendap dan hasil buangan ke tempat lain supaya kapasiti empangan sentiasa berada dalam tahap yang baik.

“Buat masa ini, kami masih dapat menguruskan perbelanjaan (penyelenggaraan), namun jika dapat menghentikan masalah bahan buangan atau bahan yang tidak diingini masuk ke dalam tasik, kos ini boleh dikurangkan,” katanya.

 

TNB Genco mengendalikan empat empangan di Cameron Highlands
TNB Genco mengendalikan empat empangan di Cameron Highlands

 

Mengenai perancangan TNB Genco untuk membuka empangan baharu pada masa depan, beliau berkata, ia memerlukan kajian terperinci dan agak lama.

“Untuk pengetahuan, pembinaan empangan perlu mengambil kira banyak perkara dan juga kajian antaranya Kajian Penerimaan Awam dan Sosial, Kajian Impak Alam Sekeliling (EIA), Kajian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Impak Warisan (HIA).

“Empangan terbaru yang akan dibina ialah di Nenggiri, Gua Musang yang diumumkan baru-baru ini,” katanya.

Kerajaan pada pertengahan Jun lalu mengumumkan pembinaan Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri bernilai RM5 bilion yang dijangka bakal menjana 300 megawatt (MW) dan mula beroperasi pada pertengahan 2027.

HeadquartersTNB Power Generation Sdn. Bhd.
Aras 2, Bangunan TNB Genco
No. 129, Jalan Bangsar
59200 Kuala Lumpur
Get In TouchTNB Genco Social links
Total Visit: 200974

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.

Best view in 1920 x 1080 resolution

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.