KUALA LUMPUR: Pengeluar tenaga bebas (IPP), Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra) menjalin kerjasama dengan anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) bagi mengembangkan perniagaan penjanaan tenaganya.
Dalam satu kenyataan, Edra berkata, kerjasama teknikal itu adalah untuk membolehkan kedua-dua syarikat berkenaan berkongsi maklumat teknikal dan pengumpulan alat ganti untuk operasi serta penyelenggaraan teknologi turbin gas 9HA.02.
“Edra dan TNB Genco akan bekerjasama rapat dengan matlamat untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan ketersediaan turbin gas 9HA.02 sedia ada yang dipasang di Loji Janakuasa Edra Melaka (EMPP) dan Loji Janakuasa Sultan Ibrahim (SIPP),” katanya.
Dikendalikan dan diselenggara sepenuhnya oleh syarikat induk masing-masing, EMPP dan SIPP menggunakan turbin gas 9HA.02 terkini dan paling berteknologi maju yang dibangunkan oleh General Electric.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Edra, Zhong Xianjue, berkata dengan kerjasama itu, ia dijangka dapat meningkatkan kedudukan perniagaan kedua-dua syarikat dalam pasaran penjanaan kuasa yang berkembang pesat.
“Kami berharap perkongsian ini akan membawa kepada sistem bekalan kuasa yang lebih kukuh, hijau dan lebih cekap, menyumbang secara positif dalam perjalanan penyahkarbonan Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya
Sumber – Berita Harian