TNB Mahu Jalin Kerjasama Syarikat Tenaga Laos, Galak Perdagangan Rentas Sempadan

August 6, 2023

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyerahkan Surat Niat (LOI) kepada syarikat dari Laos, Electricite Du Laos (EDL) untuk mewujudkan kerjasama dalam memacu dagangan rentas sempadan dan pembangunan modal insan.

TNB dalam satu kenyataan hari ini, berkata langkah ini adalah seiring dengan usahanya untuk mengukuhkan kesalinghubungan Grid Tenaga ASEAN (APG) dan memperkasakan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) sebagai penjana tenaga di ASEAN.

Melalui LOI itu, syarikat utiliti nasional itu berkata ia cenderung menubuhkan Jawatankuasa Kolaborasi bersama mengoptimumkan sumber, mengukuhkan jaminan bekalan dan meningkatkan pengetahuan serta perkongsian kemahiran melalui mekanisme inovatif dalam pertukaran tenaga, dengan memanfaatkan institusi pendidikan dan penyelidikan TNB.

“Inisiatif ini seterusnya dapat mengukuhkan perkongsian strategik dan pelaksanaan strategi bersama syarikat tenaga utama susulan TNB Genco-EDL telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka pelaburan dan peluang projek Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Laos.

“Kerjasama ini turut mengkaji kebolehlaksanaan eksport (TBB) dari Laos ke Malaysia melalui Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia (LTM-PIP) atau menggunakan pendekatan lain dengan jangkaan nilai dagangan RM460 juta untuk 200MW pada 2025 dan mencecah sehingga M2.3 billion bagi 1,000MW selepas 2030,” kata TNB.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata kerjasama dengan EDL itu akan membolehkan projek manfaat bersama dibangunkan atas kekuatan kedua-dua belah pihak.

“Dengan permintaan terhadap TBB yang semakin meningkat, peranan berpengaruh EDL dalam sektor tenaga di Laos menjadikannya rakan kongsi ideal untuk meneroka peluang sebegitu,” katanya.

Merujuk kepentingan pembangunan modal insan dalam mengekalkan dan memajukan sektor tenaga, Baharin berkata TNB mempunyai institut pendidikan dan penyelidikan tersendiri iaitu Integrated Learning Solution (ILSAS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan TNB Research Sdn Bhd.

“Dengan menggalakkan pertukaran kepakaran dan memupuk kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan, institusi ini boleh mewujudkan tenaga kerja yang berkemahiran untuk memacu inovatif dan menangani cabaran industri.

“Pendekatan ini boleh dimanfaatkan demi meningkatkan perkongsian pengetahuan dan kolaborasi antara TNB dan EDL,” katanya.

Menurutnya, TNB bersedia menjadi rakan strategik Laos untuk memupuk pertumbuhan kerana negara itu merupakan ‘Bateri Asia Tenggara’.

Beliau berkata langkah itu juga selari dengan komitmen TNB terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), memacu pelan peralihan tenaga dan mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Selain itu, katanya, TNB juga sentiasa terbuka untuk berkolaborasi dengan EDL dalam bidang lain sektor tenaga.

“Seiring dengan visi kami dalam menyediakan solusi tenaga mampan serantau dan antarabangsa, kami juga sedang membangunkan pelbagai peluang tenaga bersih untuk memenuhi permintaan yang semakin berkembang.

“Kerjasama ini akan mempertingkatkan pacuan TNB untuk memperkasakan kesalinghubungan APG dan mengukuhkan kewujudan TNB Genco sebagai penjana tenaga TNB di negara-negara ASEAN,” kata Baharin.

Sumber – Berita Harian

HeadquartersTNB Power Generation Sdn. Bhd.
Aras 2, Bangunan TNB Genco

No. 129, Jalan Bangsar

59200 Kuala Lumpur
General line +6 03 2108 3245
Corporate : [email protected]
Get In TouchTNB Genco Social links
DISCLAIMER::

This is TNB information. Any modification, copying, reproduction, republication, uploading, posting, transmission, or distribution, in any manner, of the said information on the website, including any related text, graphics, code and/or software without permission in writing is prohibitted.

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.

Best view in 1920 x 1080 resolution