PEMBINAAN empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang, Kelantan yang dijangka beroperasi pada 2026 dilihat dapat membantu kerajaan meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) negara.
Projek empangan hidroelektrik Nenggiri bernilai RM5 bilion itu bakal menyalurkan 300 megawatt (MW) kepada Grid Nasional apabila siap nanti.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Baharin Din berkata, pembinaan empangan itu bukan sahaja menyokong aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan RE, malah membawa pelbagai manfaat dengan menyelesaikan beberapa isu demi kesejahteraan rakyat Kelantan.
Katanya, sebagaimana empangan lain milik TNB seperti di Skim Hidroelektrik Cameron Highlands, Sungai Perak dan Kenyir, empangan di Nenggiri bakal memberi manfaat tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar semasa musim tengkujuh.
“Air yang ditakung dalam tasik takungan utamanya akan dilepaskan semula secara terkawal ke dalam Sungai Nenggiri dan ini dapat membantu mengawal banjir di hilir empangan ini.
“Selain membantu mengurangkan banjir, ia juga berupaya membantu kerajaan Kelantan mengatasi isu pembekalan air bersih serta pengairan untuk pertanian dan membuka peluang pekerjaan ketika pembinaannya dan mewujudkan peluang ekonomi baru di tasik takungan utamanya.
“Seperti dibuktikan di Tasik Banding di Perak (Empangan Temenggor) dan Tasik Kenyir di Terengganu (Empangan Sultan Mahmud), penduduk setempat juga akan meraih manfaat ekonomi terutamanya dari sektor pelancongan, rekreasi, pertanian, perniagaan kecil serta pembangunan prasarana,” katanya dalam satu kenyataan.
Baharin berkata, empangan hidroelektrik Nenggiri akan meningkatkan kapasiti penjanaan RE TNB, sejajar menjadi penggerak utama peralihan industri tenaga negara,” katanya.
“Apabila siap kelak, ia dapat mengukuhkan usaha TNB memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap untuk rakyat dan negara.
“Projek ini menyokong aspirasi tenaga lestari TNB menuju ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050 yang dipacu komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 35 peratus serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.
“Justeru, ia menyokong aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga hijau negara kepada 40 peratus pada 2035,” katanya.
Untuk rekod, kapasiti penjanaan elektrik TNB di Semenanjung, ketika ini, merangkumi 18.0 peratus hidroelektrik (2,536 Megawatt (MW)), 0.6 peratus solar (80 MW), 48.2 peratus arang batu (6,800 MW) dan 33.3 peratus gas (4,702.43 MW).
Selain itu, beliau berkata, komuniti Orang Asli yang terbabit secara langsung dengan projek ini, khususnya dari Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kg Wias akan dipindahkan ke penempatan baharu dengan infrastruktur dan keperluan asas lebih baik dan selesa.
Mereka juga akan diberikan pakej rangsangan ekonomi untuk meningkatkan sosioekonomi mereka dengan kerjasama Kerajaan Kelantan, Pejabat Tanah dan Jajahan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan jabatan kerajaan yang lain.