SJSM dijangka beroperasi semula akhir tahun ini-TNB

April 11, 2022

SJSM dijangka beroperasi semula akhir tahun ini-TNB

TAKIYUDDIN (paling kanan) dan Ahmad Samsuri (tengah) diiringi Baharin melihat secara dekat antara kawasan terjejas akibat tanah runtuh ketika meninjau kerja-kerja membaik pulih Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM), baru-baru ini.
PETALING JAYA: Proses baik pulih Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) di Terengganu berjalan lancar dengan kini memasuki fasa pemulihan kejuruteraan dan dijangka beroperasi semula menjelang hujung tahun ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang meninjau kerja-kerja membaik pulih berpuas hati dengan usaha TNB memulihkan operasi stesen itu.

“Selepas 40 hari kejadian, saya melihat pemulihan telah dilaksanakan secara terbaik dan dengan pantas. Ia dilaksanakan melalui banyak peringkat-peringkat yang perlu disegerakan,” katanya yang turut meninjau kawasan SJSM dan Kenyir dari udara, baru-baru ini.

Beliau kemudian melawat beberapa lokasi penting termasuk jambatan Bailey berhampiran stesen, menara penghantaran, kawasan empangan serta pencawang masuk utama sebelum diberikan taklimat mengenai pengurusan krisis oleh Pengurus Besar, State Stakeholder Affairs (Kelantan/Terengganu) TNB, Mustaphakamal Yaacob.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Presiden danKetua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti.

Takiyuddin turut memuji kemampuan TNB memastikan pembekalan tenaga elektrik di Terengganu tidak terjejas sepanjang usaha pemulihan.

SJSM dihenti tugas sementara berikutan menara penghantaran voltan tinggi 132kV yang menyalurkan bekalan elektrik kepada Grid Nasional tumbang pada 27 Februari akibat kejadian tanah runtuh dalam keadaan hujan lebat luar biasa bermula 25 Februari.

TNB telah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Bisnesnya (pelan tindakan kecemasan) termasuk penyelarasan dengan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan jabatan lain di TNB.

Semua kerja-kerja fasa pertama termasuk pembersihan akses ke stesen, pembersihan bahan mendapan termasuk sisa kayu dan keladak telah dilaksanakan selain memulakan pemeriksaan struktur empangan dan perkakasan, keselamatan cerun dan kawasan penampan serta alur limpah.

Dalam pada itu, menurut Baharin, fasa kedua pemulihan termasuk penyelenggaraan peralatan dan aset-aset penjanaan dijangka selesai Jun ini dan diikuti fasa ketiga ke arah pemulihan operasi, yang mana keseluruhan proses pemulihan mengambil masa hampir enam bulan dalam usaha memastikan keselamatan stesen berada dalam keadaan terkawal sepenuhnya.

“Pelaksanaaan langkah pemulihan bagi mengembalikan operasi SJSM turut merangkumi penilaian impak kejadian kepada struktur empangan. Penilaian mendapati integriti struktur empangan kekal kukuh dan selamat. Keadaan di sekitar Tasik Kenyir juga dijamin selamat.

“TNB mendapatkan khidmat pakar perunding luar untuk membuat penilaian terperinci integriti empangan selain bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau keadaan cerun termasuk lima lokasi tanah runtuh di laluan menuju SJSM,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

HeadquartersTNB Power Generation Sdn. Bhd.
Aras 2, Bangunan TNB Genco
No. 129, Jalan Bangsar
59200 Kuala Lumpur
Get In TouchTNB Genco Social links
Total Visit: 205890

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.

Best view in 1920 x 1080 resolution

Copyright by TNB Genco. All rights reserved.